Monday 24 December 2012


KEBAIKAN DAN KEBURUKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI



Kehadiran teknologi dalam pekerjaan dapat mengubah masyarakat supaya ia dapat menjadikan masyarakat lebih bermaklumat. Pada dahulu kala kita dapat melihat semua kerja dilakukan atau dibuat secara manual dan juga secara fizikal yang memerlukan tenaga manusia. Akan tetapi dengan kewujudan teknologi yang lebih canggih, semua kerja dapat dibuat atau dilakukan dengan baik berdasarkan bantuan teknologi.

      Dengan penggunaan teknologi dalam pekerjaan, kita boleh menjimatkan masa di mana proses perniagaan dapat disiapkan dalam beberapa minit sahaja dan juga dapat dikemaskinikan dalam masa yang singkat mengikut arus teknologi. Kemajuan teknologi sekarang dapat dilihat melalui penembusannya dalam setiap aspek kehidupan harian dari perniagaan hingga ke gaya hidup masyarakat. Kini, alat-alat komunikasi seperti komputer peribadi, telefon bimbit, mesin faks, e-mail dan internet bukan sahaja menjadi sebahagian daripada kehidupan kita, tetapi juga memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Antara kebaikan teknologi adalah seperti globalisasi, komunikasi, dari sudut keberkesanan kos, mengurangkan jurang budaya, meluangkan lebih masa dan mencipta peluang pekerjaan yang baru. Globalisasi ini bukan sahaja menunjukkan perhubungan dunia yang rapat tetapi juga membenarkan ekonomi - ekonomi di dunia ini untuk menjadi satu sistem yang bersifat saling bergantung antara satu sama lain.

       Ini dapat dibuktikan lagi dengan berkongsi maklumat secara tepat dan efisien malah ia dapat mengurangkan halangan-halangan dan sekatan geografi. Dunia kini dibangunkan dalam “Global Village” dengan bantuan tenologi yang membolehkan negara - negara kurang maju seperti Chile dan negara-negara maju seperti Jepun yang berbeza dari segi jarak dan juga bahasa perantaraan yang berbeza untuk berkongsi idea dan informasi antara satu sama lain.


             Komunikasi pula, dengan bantuan teknologi proses komunikasi telah menjadi lebih murah, cepat dan juga efisien. Sekarang kita dapat berkomunikasi dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan menghantar teks mesej atau pun dengan kiriman e-mail. Teknologi ini juga membuka peluang untuk berhubung secara terus dari bahagian - bahagian yang berbeza di seluruh dunia. Teknologi ini juga digunakan dalam dunia pekerjaan melalui video conferencing yang membolehkan pengurus-pengurus dari negara - negara lain untuk turut serta menghadiri mesyuarat.

        Dari sudut keberkesanan kos, teknologi maklumat telah membolehkan semua proses perniagaan dikomputerkan yang mana perniagaan tersebut mendapat pulangan yang tinggi dengan menggunakan peralatan mesin - mesin yang berteknologi. Pada masa yang sama ia juga dapat meningkatkan produktiviti yang mana meningkatkan keuntungan kepada perniagaan. Mengurangkan jurang budaya pula ialah yang mana teknologi maklumat telah membantu mengurangkan jurang budaya dengan membantu masyarakat dari budaya yang berbeza, berkomunikasi antara satu sama lain dan membolehkan pertukaran idea dan pandangan dalam meningkatkan kesedaran dan mengurangkan prejudis.

Antara kebaikan lain adalah meluangkan lebih masa iaitu teknologi maklumat memberikan peluang bagi perniagaan untuk beroperasi selama 7 hari dan 24 jam di seluruh dunia. Ini bermakna sesuatu perniagaan boleh dibuka pada bila-bila masa, di mana-mana dan membuat pembelian dari negara yang berbeza serta mudah dan selesa. Masyarakat juga dapat menikmati perkhidmatan penghantaran terus ke muka pintu. Mencipta peluang pekerjaan yang baru pula ialah teknologi yang merupakan kebaikan utama yang mencipta peluang perniagaan yang baru dan menarik. Antara pekerjaan - pekerjaan yang diwujudkan dengan kehadiran teknologi iaitu ‘Computer Programmers’, ‘System Analyzers’,‘Hardware and Software Developers’dan ‘Web Designer’.

          Walaupun di sini kita menghujahkan atau melihat teknologi memberikan kebaikan dan kepuasan kepada semua pihak, tetapi jika dikaji secara mendalam terdapat juga keburukan yang berselindung disebaliknya. Antaranya ialah, kita boleh dapati iaitu hak persendirian, budaya dominasi,kekurangan dalam keselamatan pekerjaan dan jugapengangguran. Hak persendirian ialah yang mana dengan kehadiran teknologi, proses komunikasi menjadi lebih cepat, lebih mudah dan lebih selesa. Walaubagaimanapun ia juga membangkitkan isu hak persendirian (privacy). Dalam dunia yang semakin maju ini, masyarakat berasa risau apabila maklumat peribadi di dedahkan menjadi maklumat awam. Ini kerana kemajuan teknologi ini membolehkan data - data persendirian yang disimpan dalam komputer atau telefon bimbit dicerobohi oleh orang lain yang tidak bertanggungjawab.

              Dari pandangan dominasi budaya pula ialah walaupun teknologi maklumat menjadikan dunia ini ‘Global Village’, ia juga menyebabkan berlakunya dominasi budaya yang dianggap sebagai kelemahan atau keburukan yang paling dahsyat. Sebagai contoh salah satu isu yang semakin dibangkitkan ialah pengaruh budaya U.S yang mana dapat dilihat di negara kita, ramai remaja terikut dengan budaya barat. Kebanyakkan remaja sekarang terikut dengan gelagat, cara pemakaian dan mengikut gaya budaya barat.
Di samping itu, Bahasa Ingeris juga dijadikan sebagai bahasa primer dalam komunikasi perniagaan dan dalam semua aspek seperti pembelajaran dan sebagainya. Dalam konteks pengangguran, teknologi telah menyebabkan berlakunya peningkatan dalam pengangguran. Ini telah menyebabkan berlakunya ‘downsizing’ dan ‘outsourcing’. Kebanyakkan pekerja yang mahir dan separa mahir telah kehilangan pekerjaan dan secara tidak langsung terjadinya pengangguran. Ini kerana kerja-kerja yang dilakukan oleh mereka telah digantikan dengan penggunaan peralatan pemesinan yang lebih canggih..

Sebagai kesimpulannya, walaupun kita bersetuju dengan dakwaan bahawa teknologi memberikan kebaikan kepada semua pihak, tetapi tanpa disedari ia juga telah memberikan impak yang lebih besar kepada masyarakat.





KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT)


Dalam era ledakan maklumat ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT amat penting. Teknologi ini sudah menguasai global dengan berleluasa. Hampir setiap saat manusia menggunakan teknologi ini dan menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal hampir setiap perkara di hujung jari sahaja. Negara yang tidak mengutamakan ICT akan ketinggalan dalam arus pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Kemajuan ICT ini telah mendatangkan banyak manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.

          Sesuatu perkara yang dicipta atau diwujudkan tentu sekali mendatangkan kebaikan serta keburukan. Perkara yang baik tentu sekali lebih mendatangkan faedah atau kepentingan kepada pengguna. Begitu jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT telah menyumbang dalam meningkatkan pengurusan dan pentadbiran negara ke arah lebih sistematik dan teratur. Segala urusan baik kerajaan mahupun swasta dapat dipercepat melalui kemajuan ICT. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan masa, bahkan tenaga, dan wang kerajaan serta rakyat sendiri. Kegunaan ICT sememangnya cukup mendewasakan Malaysia. Pentadbiran negara dan swasta menjadi lebih cepat dan cekap. Dengan itu, Malaysia akan lebih cepat mencapai wawasannya dan mencipta nama di persada dunia ini. Sebagai analoginya, kerja pengurusan dokumen, permohonan dan sebagainya menjadi tepat dan cekap. Dengan adanya ICT, data dapat diproses dan disimpan dengan segera tanpa membuang masa. Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM) dan Internet membolehkan kita menguruskan wang kita di seluruh dunia dengan mudah dan lancar.


         Jika ditinjau secara lebih mendalam lagi, ICT bukan sahaja membantu dalam pentadbiran dan pengurusan negara, malah ICT penting dalam ramalan cuaca dan panduan pelayaran. Jika dahulu, pelayar merujuk kepada kedudukan bintang di langit untuk dijadikan sebagai “kompas” semasa belayar. Jika dahulu ada yang merujuk keadaan langit dan awan untuk meramal cuaca ataupun mempercayai ramalan ahli nujum. Sekarang, dengan adanya satelit cuaca, fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci. Melalui satelit cuaca ini, siri gambar awan dapat diambil dan seterusnya kita dapat meramalkan keadaan cuaca dunia. Persediaan awal dapat kita buat untuk mengelakkan berlakunya kerugian harta benda dan pengorbanan nyawa. Banjir, ribut taufan, tsunami, dan gempa bumi adalah antara contoh fenomena alam yang tidak dapat tidak kita sebagai manusia perlu untuk mengawalnya dengan membuat persediaan rapi kerana kita perlu sediakan payung sebelum hujan. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang tepat itu, kita dapat membuat persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem satelit aeronautik (USA) dapat menghubungi kapal terbang yang melintasi Lautan Atlantik dan Pasifik. Teknologi komunikasi pelayaran juga penting dalam sistem pengangkutan udara dan laut. Teknologi ini berfungsi sebagai panduan pelayaran. Sistem Satelit Laut (IMMARISAT) dapat mengesan kapal-kapal yang menghadapi masalah di samping berfungsi sebagai panduan

            Sudah terang lagi bersuluh bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila ICT mempercepat hubungan antarabangsa. Dunia seakan-akan menjadi semakin kecil dengan wujudnya ICT. Kita dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia. Perkara ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan. Kita dapat berhubung dengan sesiapa sahaja sama ada di laman sembang, e-mail, sistem pesanan ringkas (SMS), Skype dan sebagainya. Kita juga dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan menggunakan telefon bimbit. Bukan itu sahaja, perkembangan semasa yang berlaku di seluruh dunia juga dapat diikuti dengan serta-merta seperti siaran langsung konsert artis popular, perlawanan bola sepak dunia dan siaran berita mutakhir. Acara sukan, persidangan dan sebagainya yang berlangsung di sesebuah negara seperti di Korea di Jepun mahupun di Amerika Syarikat dapat dipancarkan ke seluruh dunia secara langsung. Siaran ini dapat ditonton melalui Internet dan Astro, telefon, faksimili, televisyen, dan persidangan video bergantung pada ICT untuk membolehkan kita merasai nikmat ini. Internet dan komputer riba turut berfungsi melalui teknologi serba canggih ini. Sememangnya ICT merupakan pembuka laluan yang luas kepada masa depan yang gemilang.

             Kewujudan ICT turut membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di sekolah. Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan. Fakta ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

           Sehubungan dengan itu, selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen litar tertutup (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka, hal ini berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin ditemui. Kes penculikan kanak-kanak tersebut pernah menggegarkan seluruh Malaysia. Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati, tetapi dengan adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang terkandung mayat kanak-kanak tersebut. Dengan CCTV juga, kes disiplin yang berlaku di sekolah dapat dikawal oleh pihak sekolah.

             Bertitik tolak dari itu, kita dapat melihat bahawa pembangunan negara bergantung pada kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Langkah kerajaan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) sememangnya tepat pada masanya. Sudah tiba masanya untuk negara Malaysia berjaya di peringkat kebangsaan mahupun serantau. MSC memainkan peranan penting untuk menjadi pemangkin kemajuan ICT di Malaysia. Untuk menjayakan harapan ini, semua pihak tidak kira pihak kerajaan ataupun pihak swasta, perlulah berganding bahu bersama-sama rakyat bagai aur dengan tebing, sehati sejiwa untuk melonjakkan nama negara Malaysia ke pentas dunia.



PENGENALAN


SEJARAH PERKEMBANGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT


Istilah "teknologi maklumat" muncul pada sekitar dekad 1970-an. Pada abad ke-20, banyak industri bertumbuh dengan pesat dalam membangunkan sektor elektronik, sektor pengkomputeran, dan juga bidang-bidang teknologi yang lain. Pada ketika itu, terdapat banyak penyelidikan telah dilakukan bagi membiayai inovasi serta permbaharuan dalam bidang jentera dan pengkomputan.Komputer komersil yang pertama ialah UNIVAC I yang direka bentuk oleh J. Presper Eckert dan John Mauchly untuk Biro Banci Amerika Syarikat. Pada akhir dekad 1970-an, penciptaan mikrokomputer diikuti oleh penciptaan komputer peribadi IBM pada tahun 1981. Sejak itu, empat generasi komputer telah berkembang, dengan setiap generasi melambangkan satu langkah yang dicirikan oleh perkakasan yang semakin kecil dan dan mempunyai pelbagai fungsi. Pada ketika itu, generasi pertama menggunakan tiub vakum, manakala generasi-generasi kedua dan ketiga masing-masing menggunakan transistor dan litar bersepadu. Generasi keempat, iaitu generasi terkini, menggunakan sistem-sistem yang lebih rumit seperti penyepaduan skala sangat besar (VLSI).



DEFINISI TENTANG TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT)
Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau ICT (Information and Communication Technology) merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ia berkenaan dengan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudahnya adalah penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.

         Definisi teknologi maklumat boleh diringkaskan sebagai satu proses pengaliran, penyebaran, pemprosesan dan penyimpanan maklumat menggunakan perantaraan teknologi. Seperti yang diketahui umum, teknologi disifatkan sebagai satu bentuk pemudah cara yang membolehkan pengaliran maklumat menjadi sangat pantas. Sebenarnya teknologi maklumat tidak terhad kepda internet dan komputer sahaja tetapi ia melibatkan televisyen, telefon, telefon mudah alih, fax, telegram, PDA dan sistem satelit dalam menyampaikan maklumat kepada penerima.

Terdapat 3 asas penting dalam penggunaan teknologi maklumat :
  • Teknologi maklumat adalah untuk mengumpul maklumat. Ia digunakan untuk suntingan dengan menggunakan teknologi. Contoh,dengan menggunakan komputer ia boleh merekod bunyi,imej dan sebagai pengesan gerakkan.
  • Memanipulasikan maklumat dan proses semula imej.
  • Digunakan untuk berkomunikasi iaitu ia menjelaskan bagaimana teknologi maklumat digunakan untuk berkomunikasi bagi mendapatkan maklumat daripada sumber kepada penerima



FUNGSI-FUNGSI TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI.
  • Teknologi ini wujud sebagai satu perantaraan untuk menyebarkan pelbagai jenis maklumat untuk tujuan yang berlainan. Contohnya bagi pendidikan, pengiklanan, pemberitahuan, telekomunikasi dan sebagainya untuk memperoleh maklumat, menyimpan maklumat, mengambil semula maklumat, memproses maklumat dan menyebarkan maklumat.
  • Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya. Hakikatnya ICT sangat membantu dan menolong mereka (pengurus sekolah) untuk berfungsi dengan lebih cekap, berkesan, mudah, cepat dan membuat keputusan yang baik yang melibatkan maklumat, proses dan kerja seperti pendaftaran pelajar, pelbagai rekod, kawalan inventori, jadual waktu, opsyen guru, bilangan waktu mengajar, hal yang berkaitan peperiksaan, pembelian stok dan sebagainya. Ini bersesuaian dengan pendapat Laudon dan Laudon ( 1997 ) yang menyatakan sistem maklumat dan komunikasi adalah komponen-komponen yang bersepadu yang mengumpul dan menyimpan maklumat bagi membantu organisasi membuat keputusan, merancang, mengawal dan menganalis.
  • Guru-guru juga boleh memperolehi maklumat daripada pelbagai sumber melalui ICT untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran ( P & P ) dan tahu menggunakan teknologi komunikasi seperti CD Rom, cakera padat, video, komputer, komputer bimbit, dan perisian-perisian aplikasi komputer seperti e-mail, pengkalan data, pemprosesan perkataan, hamparan eletronik, internet, perisian persembahan dan lain-lainnya.Menurut Stair dan Reynolds ( 1999 ), tujuan utama sistem maklumat dan komunikasi adalah untuk membantu organisasi mencapai matlamat-matlamatnya dengan membekalkan pengurus-pengurus dengan “insight” ke atas operasi organisasi supaya mereka dapat mengawal, mengelola dan merancang dengan lebih berkesan dan lebih cekap.
  • Pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Tren semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat. Contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer.
  •  Masa kini, semakin banyak bahan-bahan ditukarkan kepada bit-bit dalam komputer. Penukaran ini akan mencetuskan perubahan yang besar dalam penggunaan ruang di bandar. Misalnya penduduk bandar tidak perlu berada di sesuatu lokasi tetapi dapat merasai situasi tersebut melalui internet. Kes yang sama berlaku terhadap perpustakaan, apabila lebih banyak teks ditukarkan dalam bentuk bit. Pelajar atau penduduk tidak perlu sampai ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan tersebut.
  • Perdagangan elektronik ditakrifkan sebagai penggunaan telekomunikasi atau rangkaian yang luas untuk melaksanakan pemindahan kewangan. Dengan berkembangnya perkhidmatan sedemikian pada masa depan, pengguna tidak perlu melangkah keluar dari rumah untuk membeli-belah. Di samping itu, mereka boleh membeli-belah 24 jam sehari tanpa gangguan kesesakan, cuaca dan jurujual yang membosankan. Selain itu, lokasi juga tidak menjadi masalah kerana perkhidmatan yang dibekalkan akan menjamin pembelian tersebut dijalankan dengan senang. Halangan yang wujud cumalah kos penghantaran yang mahal bagi lokasi yang jauh. Dengan adanya rangkaian teknologi maklumat juga membolehkan aktiviti perbankan dan pasaran dijalankan. Ini akan memberi pengaruh yang besar ke atas guna tanah kawasan perdagangan pusat. Aktiviti tersebut sentiasa berkait dengan kesesakan di lokasi perletakan bank atau bursa saham. Namun dengan adanya rangkaian maklumat yang membolehkan aktiviti tersebut dijalankan dengan selamat maka penduduk bandar dengan sukarela akan memilih rangkaian tersebut berbanding dengan cara konvensional yang tidak berkesan serta membazirkan masa dan tenaga.

PERANAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

Di dalam dunia yang bertambah maju ini, teknologi maklumat telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Ia juga memainkan peranan yang penting di dalam kerja-kerja seharian kita. Sejak telefon diciptakan, manusia telah menyaksikan kemunculan pelbagai ciptaan-ciptaan saintifik yang lebih canggih seperti radio, televisyen, komputer, video dan sistem faksimili.Misalnya bagi komputer dapat memberi, menyimpan dokumen-dokumen atau data-data yang diingini. Dengan ada kelebihan ini, ia dapat membantu manusia dalam bekerja yang lebih pantas dan sempurna dalam mengendalikan penyimpanan data-data yang penting.

         Media massa juga memainkan peranan penting dalam membuka minda kita supaya kita tidak lagi jahil bak katak di bawah tempurung. Melalui televisyen, kita dibawa ke sistem video yang begitu canggih. Sistem ini berupaya merakamkan peristiwa-peristiwa yang menarik serta dapat dimainkan semula ke televisyen dalam bentuk video kaset ataupun cakera padat. Satu pencapaian besar dalam teknologi komunikasi mungkin adalah dengan terciptanya telefon bimbit. Ia dapat menghubungkan dua nadi suria yang dapat dicapai walaupun berkilometer jauhnya. Manusia telah memanfaatkan kaedah ini untuk saling berhubungan sesama sendiri dengan keselesaan membawanya ke mana sahaja mereka berada.

        Tambahan pula, bagi sistem faksimili bukan sahaja menjimatkan waktu dan tenaga, bahkan maklumat akan tersiar melalui hitam putih yang akan memudahkan kerja bagi penerimanya.Namun begitu, setiap yang sempurna pasti ada kecacatannya. Teknologi maklumat juga menimbulkan masalah sosial yang tidak diingini. Kita boleh melihat banyak jenayah yang dilaporkan di akhbar-akhbar.Rancangan-rancangan yang disiarkan melalui media elektronik seperti televisyen mahupun radio masih mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki. Memandangkan kehidupan kita banyak dipengaruhi oleh teknologi maklumat, kemungkinan besar kita juga akan terikut-ikut dengan gejala-gejala negatif yang begitu berleluasa.

         Kesimpulannya, teknologi maklumat memainkan peranan yang penting dalam menjamin kehidupan yang lebih selesa. Namun begitu, kita harus memanfaatkan pengetahuan kita untuk tujuan yang positif. Ini adalah untuk memastikan bahawa masyarakat Singapura dapat membangun dengan fikiran yang inovatif, kreatif dan berhati mulia.